Saturday, May 30, 2015

SUKANEKA PROGRAM ORIENTASI PRA-U1 2015

SUKANEKA PROGRAM ORIENTASI PRA-U1 2015
  Aktiviti sukaneka sempena program orientasi pelajar pra-u1 tahun 2015 telah diadakan pada 25 Mei 2015 yang lalu.
  Aktiviti yang dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini melibatkan semua pelajar pra-u1 serta beberapa orang pelajar pra-u2 sebagai peserta. Para peserta ini telah dibahagikan kepada 20 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada lapan orang ahli, iaitu dua lelaki dan enam perempuan.
  Aktiviti yang dijalankan di padang SMK Tunku Ampuan Durah ini melibatkan sepuluh jenis permainan di sepuluh buah stesen. Permainan sukaneka pada kali ini menggabungkan elemen moden dan tradisional.
  Antara permainan yang dijalankan ialah:
1. Meniup bola ping pong
2. Berlari berpasangan 
    dalam kain pelikat
3. Mengepit bola dengan
    kaki
4. Menarik upih (yang
    digantikan dengan guni)
5. Menimbang/menyangga
    bola tampar
6. Membaling tin dengan
    selipar
7. Boling buah kelapa
8. Lari kaki tiga
9. Mengisi air ke dalam
    botol dengan tangan
10.Pas gelang getah
     menggunakan straw di
     mulut

  Permainan dijalankan dengan dua kumpulan  bersaing secara serentak di setiap stesen. Setiap kumpulan kemudiannya akan bergerak ke stesen-stesen lain sehingga lengkap bermain kesemua sepuluh buah permainan tersebut.
  Ternyata semua peserta kelihatan seronok serta bersungguh-sungguh bersaing dengan kumpulan lawan semasa bermain, walaupun terpaksa berpanas di tengah padang.
  Sebahagian guru pra-u juga berminat untuk turut serta dan mencuba permainan yang disediakan, termasuk Puan Zuraidah Binti Abd. Razak, Penolong Kanan Pra-U SMK TAD.
  Pihak MPP juga telah berjaya mengendalikan permainan di setiap stesen dengan baik untuk memastikan kelancaran aktiviti sukaneka pada hari tersebut.
  Ternyata aktiviti sukaneka yang dijalankan bukan sahaja memberikan keseronokan serta pengalaman menarik buat semua yang terlibat, malah yang lebih utama ia telah mencapai objektif mengeratkan hubungan  antara pelajar serta antara guru dengan pelajar, terutamanya pelajar pra-u1 yang baru sahaja menjadi warga pra-u di SMK Tunku Ampuan Durah ini.

No comments:

Post a Comment