MAJLIS RESTU ILMU CALON STPM 2015 DAN 2016
Majlis Restu Ilmu bagi calon-calon STPM 2015 (Penggal 3) dan 2016 (Penggal 1) telah diadakan pada 30 Oktober 2015.
Majlis dimulakan dengan taklimat oleh Setiausaha Peperiksaan STPM, Puan Chuah Chin Chin. Beliau telah memberi pelbagai panduan dan pesanan berkaitan dengan peperiksaan buat calon-calon STPM.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Puan Zainariah Binti Abdullah, Ketua Unit Sains dan Matematik, mewakili Guru Penolong Kanan Pra-U, Puan Zuraidah Binti Abd Razak yang tidak dapat bersama dalam majlis ini kerana urusan Bilik Kebal.
Kemuncak majlis restu ini adalah ucapan oleh Tuan Pengetua, Tuan Haji Md Fiah Bin Md Jamin yang banyak memberikan motivasi dan dorongan buat calon-calon yang bakal memasuki "gelanggang pertarungan" tidak lama lagi.
Dalam majlis ini juga, semua pelajar mendapat cenderamata sumbangan pihak pra-u yang berupa set alat tulis sebagai bekalan menghadapi peperiksaan.
Majlis diakhiri dengan upacara bersalam-salaman antara pelajar dengan guru-guru, memohon agar guru-guru menghalalkan segala ilmu yang telah dicurahkan serta mendoakan kejayaan pelajar dalam peperiksaan kali ini.
Setelah selesainya majlis, barulah Penolong Kanan Pra-U, Puan Zuraidah, berkesempatan untuk memberi ucapan kepada para pelajar. Beliau menitipkan pesanan-pesanan penting serta kata-kata semangat buat semua pelajar pra-u yang juga calon STPM 2015 dan 2016.
Semoga semua calon STPM 2015 dan 2016 dapat menghadapi peperiksaan kali ini dalam keadaan bersedia dan bersemangat, serta diberi kesihatan yang baik sepanjang peperiksaan, seterusnya mencapai kejayaan yang cemerlang nanti.